Sunday, March 20, 2011

TWINS

Posted by intrigue at 21:10
Reactions: 
BAB 1


Suasana menjadi haru. Gaviens memandang sekeliling. Dia harus segera menjadikan Lynnet dan Lyvia sebagai anak patungnya sebelum Ecsentra menjumpai mereka. Lynnet dan Lyvia kelihatan begitu letih setelah dipaksa dan diseksa oleh orang-orang Gaviens agar membocorkan rahsia mengenai Asyiria lebih-lebih lagi Pangkalan Genesis. Gaviens memandang orang kanannya. Ya, dia perlu segera bertindak.


"Chleo, sekarang," katanya kepada orang kanannya. Chleo menganggukkan kepalanya. Dia menarik Lyvia agar mengikutnya ke bilik yang lain. Lyvia meronta-ronta tidak mahu mengikutinya. Lynnet memandang. Dia mahu menghalang Chleo malangnya dia diikat pada kerusi. Mahu menggunakan sihir, dia tidak mampu. Dia sudah terlalu letih.


"Aku tak mahu ke mana-mana. Lepaskan akulah!" jerit Lyvia sambil meronta-ronta minta dilepaskan. "Abang! Tolong Lyvia," jeritnya lagi.


"Bangsat! Lepaskan adik aku!" jerit Lynnet kepada Chleo tetapi mereka sudah tiada di hadapannya. "Gaviens, apa yang kau nak dari adik aku? Tidak cukupkah kau seksa kami di sini? Kenapa perlu kau bawa lari adik aku?" Gaviens tersenyum sinis. Dia hanya membiarkan pertanyaan itu berlalu.


'Kau akan tahu juga nanti Lynnet. Tidak perlu untuk kau bertanya sebenarnya. Just wait and see,' bisik Gaviens dalam hatinya.


"Aah!" Kedengaran suara seseorang menjerit. Semua yang berada di situ sedikit terkejut kecuali Gaviens. Lynnet amat mengenali suara itu. Itu suara adiknya, Lyvia. Dia memandang Gaviens.


"Apa yang kau dah buat pada adik aku?!"


***


Ecsentra mengintai melalui celah-celah rimbunan pokok alpain. Kelihatan ramai pengawal Gaviens ke hulu hilir menjaga kawasan FTI. Dia mengeluh sedikit lantas memandang isterinya, Cellina. Seperti dapat membaca fikiran suaminya, Cellina segera memberitahu anak-anak buahnya agar bersiap sedia untuk menyerang FTI.


"Dinda tunggu sahaja di dalam rimba ini. Jaga anak kita, Misa," beritahu Ecsentra tanpa memandang wajah isterinya. Cellina tersentak. Dia memandang wajah Ecsentra. "Aurella, jaga Cellina," tambah Ecsentra. Aurella yang ketika itu berdiri di belakang Cellina menundukkan wajahnya.


"Menjunjung titah tuanku." Aurella segera mendukung Misa yang ketika itu baru berusia 6 bulan lantas menarik tangan Cellina agar menjauhi tempat itu dan mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.


Ecsentra memandang anak-anak buahnya. "Baiklah, kita perlu segera bertindak sebelum Lynnet dan Lyvia jatuh ke tangan Gaviens. Pasukan A serang dari arah timur, pasukan B serang dari arah barat. Pasukan C pula serang dari arah belakang manakala pasukan saya, kita serang dari arah hadapan dan terus ke pangkalan FTI," kata Ecsentra panjang lebar.
Kesemua anak buahnya mengangguk. Ecsentra memberi isyarat agar setiap pasukan bergerak ke arah yang telah ditetapkan olehnya. Hanya pasukannya sahaja yang tinggal di situ. Mereka menunggu sehingga mendapat isyarat daripada ketua setiap pasukan untuk menyerang secara serentak.


Ecsentra memandang ke arah langit. Kelihatan sinaran cahaya dari tiga penjuru yang hanya boleh dilihat olehnya. Tahulah dia bahawa ketiga-tiga pasukan itu sudah tiba di tempat yang telah ditetapkan. Dia memandang semula anak-anak buahnya lantas menganggukkan kepala. Dia memancarkan satu sinaran cahaya ke langit dari jari telunjuknya. Beberapa saat kemudian, mereka keluar dari rimbunan pohon dan menyerang pengawal-pengawal keselamatan Gaviens. Pengawal-pengawal yang sedang ralit dengan tugas masing-masing kelihatan terkejut dengan kedatangan Ecsentra yang entah dari mana. Belum sempat mereka berbuat apa-apa, orang-orang Ecsentra terlebih dahulu menjatuhkan mereka.


"Jangan bunuh mereka. Mereka tak tahu apa-apa. Pengsankan sahaja mereka," kata Ecsentra ketika dia melihat ada anak buahnya yang sudah mengangkat pedang. Semua memandang Ecsentra. Ash yang amat memahami naluri kemanusiaan Ecsentra segera bertanya setelah menghentak kepala salah seorang pengawal Gaviens pada dinding.


"Apa yang perlu kita buat pada mereka setelah mereka semua pengsan?"


"Ikat mereka setempat kuat-kuat," balasnya. Tanpa mereka sedari, salah seorang pengawal itu telah menekan butang kecemasan. Itu menandakan semua warga FTI mengetahui kehadiran mereka.


"Kita perlu ke pangkalan FTI sekarang. Sudah tak banyak masa lagi." Dengan pantas mereka bergerak. Tetapi, keadaan tidak semudah yang disangka. Perjalanan mereka dihalang oleh pengikut Gaviens. Mereka tiada pilihan lain selain mengangkat pedang dan membunuh.
Ecsentra menyelit melalui celah-celah ruang kosong untuk menemui orang kanannya, Ash. Dia perlu memberitahu Ash bahawa dia mesti segera ke pangkalan FTI. Saat itu, dia terlihat Ash sedang bergelut dengan tiga orang pengikut Gaviens. Melihatkan keadaan itu, dia segera menghulurkan pertolongan.


"Kalau macam tu, tak mengapalah. Biar aku yang pimpin pasukan ni," kata Ash selepas diberitahu mengenai perkara itu.


"Terima kasih. Aku percaya pada kau," balas Ecsentra pantas. Dia segera menyusup masuk ke pangkalan FTI tanpa disedari oleh sesiapa.


***


Dia menggeledah dari sebuah bilik ke sebuah bilik dengan berhati-hati. Jika tertangkap, alamatnya Asyiria akan jatuh ke tangan Gaviens. Dia bukannya risaukan Asyiria tetapi rakyat Asyiria yang dirisaukannya. Akhirnya, tinggal satu bilik sahaja. Bilik terakhir. Dia pasti Lynnet berada di situ. Hatinya kuat mengatakan begitu. Dia berjalan perlahan-lahan mendekati bilik itu. Belum sempat dia memegang tombol pintu bilik itu, satu dentuman kuat menyambutnya sehingga dia terpelanting ke belakang.


"Hahaha. Selamat datang Ecsentra. Ke pangkalan aku. Tak sangka begitu senang kau menjumpai bilik ini. Bilik yang pernah mengurung kau suatu ketika dahulu," kedengaran satu suara menyapanya dengan pelbagai persoalan. Dia memandang lantas berdiri. Diperhatinya si pelontar suara itu.


"Gaviens, kenapa dengan kau? Apa yang menyebabkan kau lupa siapa sebenarnya kita? Gaviens, apa yang telah merasuk kau? Takkan kau dah lupa siapa aku," pertanyaan demi pertanyaan dilontarkan kepada Gaviens. Tanpa disedari oleh Gaviens, jarak diantara mereka semakin berkurang.


Ecsentra memulakan langkah. Diangkatnya pedang Odessa miliknya dan dihayun ke arah Gaviens. Gaviens yang agak terleka itu terkejut dengan kejutan yang diberikan oleh Ecsentra. Dia yang tidak sempat mengeluarkan pedang miliknya melompat mengelakkan diri dari terkena libasan Odessa. Melihatkan peluang sudah tiba, dia segera menarik tangan Lynnet dan segera memberinya minuman untuk memulihkan tenaga. Ecsentra membisikkan sesuatu ke telinga Lynnet dan kembali menghadap seterunya.


***


Dalam keadaan yang kelam kabut, dia cuba mencari jalan keluar. Tanpa diketahui olehnya, dia sebenarnya sudah berada di tengah-tengah pangkalan FTI. Kedengaran tangisan bayi di tengah-tengah pangkalan itu. Dia segera mendekati-mencari arah tangisan itu. Dia terlihat dua orang bayi yang sedang didodoikan oleh dayang pengasuh. Itu pasti anak kembar kepunyaan Gaviens. Dia mendapat satu idea. Segera dia membaca mantera untuk menidurkan dayang pengasuh itu. Tidak lama kemudian, dayang itu ketiduran. Dia tersenyum.


Dihampirinya bayi itu. Dibacakan mantera. Seketika dia memasukkan tangan kanannya ke dalam badan salah seorang bayi itu. Niatnya untuk menghancurkan hati bayi itu disebabkan kemarahannya kepada Gaviens yang telah 'mematikan' Lyvia. Tanpa diketahui olehnya, dia sebenarnya telah mencuci hati bayi tersebut dari sifat kejam.





Lynnet perasan yang keadaan sekeliling menjadi cerah secerah langit waktu pagi. Kemudian cahaya itu lenyap. Lynnet dan bayi itu juga lenyap termasuk rakyat Asyiria yang sedang bertarung dengan warga FTI.

2 comments:

Virtual Writer said...

Nice one, sakuraputih.

sakuraputih said...

Thanks Virtual Writer..^^

 

A Little Stories Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea