Sunday, February 05, 2012

Aku Benci... - Song 10

Posted by intrigue at 14:00
Seira berjalan seperti biasa ke sekolah. Di pertengahan jalan dia terserempak dengan rakan baiknya, Misa. Muka Misa yang ceria sudah menceritakan segalanya. Dia tahu dia tetap akan mendengar segala celoteh Misa walaupun dia tidak mahu. Misa menepuk bahunya.


"Pagi Seira. Eh, kau pasti dah dengar cerita yang HarUna akan adakan lagi satu konsert di Stadium Asterisk. Ah, aku tak sabar nak pergi! Aku baru sahaja dapat tiket untuk ke konsert itu semalam. Mujur masih ada lagi. Dapat lah aku merasa tempat duduk VVIP," ujar Misa saat dia dan Seira berjalan bergandingan ke sekolah. Seira membuat muka bengkek.


"Bukan kau dah cerita kat aku minggu lepas ke? Lagi pula, bukankah kelmarin cikgu Hiroyuki suruh aku siapkan kertas kerja untuk ke konsert tu? Jadi, apa point yang kau nak beritahu aku sebenarnya?" Seira mengangkat kening. Walaupun dia tidak suka perkara ini dibangkitkan namun dia sangat suka untuk menyakat rakannya yang seorang itu. Modalnya untuk menyakat hanya pada HarUna. Misa sudah menarik muncung.


"Ala, buat-buat nak ambil tahu konon. Cakap sajalah yang kau nak perli aku." Seira tergelak. "Yang kertas kerja konsert tu cuma dapat tiket VIP saja. Tak dapat nak tengok wajah ahli HarUna dekat-dekat. Itulah sebabnya kenapa aku dapatkan juga tiket VVIP ni, barulah dapat tengok depan-depan," terang Misa panjang lebar. Seira menggeleng.


"Mentang-mentang ayah sendiri bekerja di situ." Misa tersengih. Memang dia minta tiket konsert daripada ayahnya. Itupun kerana pihak stadium akan menambah lagi 2000 buah kerusi pada konsert kali ini menyebabkan ramai penonton yang akan datang membanjiri stadium. Konsert sebelum ini hanya memuatkan seramai 8000 penonton sahaja. Kalau tidak, pasti dia tidak akan menyusahkan ayahnya.


"Jadi, ada kakak kau cakap apa-apa?" tanya Misa ingin tahu.


"Banyak. Balik nanti kau tanyalah kakak." Misa mengangguk. Dia memang selalu bertanyakan perihal Saori terutamanya pada bab-bab HarUna kerana mereka mempunyai minat yang sama. Lagi pula dia tidak punya adik beradik lain yang dapat sama-sama berkongsi minat. Itulah sebabnya mengapa dia selalu bertanyakan Saori. Hanya Seira sahaja yang berbeza. Semuanya kerana peristiwa itu.


"Kenapa awak pindah ke sini? Awak cakap nak cerita kepada saya," tanya Misa pantas. Dia memandang jiran barunya itu sambil tangannya memegang sebuah album. Kelmarin dia telah berjanji untuk memberitahu Misa mengenai perpindahannya. Reo terdiam sebentar.


"Huh, awak memang tak boleh tunggu kan. Yelah, saya akan ceritakannya kepada awak. Tapi siapa nak tanggung kalau saya menangis?" tanya Reo pula. Misa tergelak.


"Awak tanggung sendirilah!" Dan ketika itu juga kepala Misa diluku.


"Baiklah. Oleh sebab awak nak tahu sangat kenapa saya berpindah ke sini, saya akan cerita sekarang. Sebenarnya saya berpindah ke sini kerana mak saya tak dapat terima hakikat yang abang saya dah tak ada. Dia mati kena langgar sebab nak selamatkan jiran kami sewaktu melintas di laluan pejalan kaki. Ia berlaku pada 7 November. Sepatutnya memang giliran untuk pejalan kaki yang melintas tetapi entah kenapa tiba-tiba ada sebuah kereta langgar lampu isyarat tu. Waktu itu umur saya baru tujuh tahun, sama umur dengan jiran saya yang abang saya selamatkan. Mak saya jadi trauma lepas tu dan kebetulan pula dia dapat tawaran kerja di sini jadi kami terus pindah," terang Reo panjang lebar. Wajah Misa sudah berubah.


"Reo, saya minta maaf. Saya tak sepatutnya tanya awak tentang perpindahan awak ke sini. Saya ingatkan keluarga awak berpindah ke sini disebabkan tawaran pekerjaan yang mak awak terima. Saya minta maaf. Jadi, adakah itu sebabnya mengapa mak awak tak pernah cakap apa-apa mengenai gambar ini?" Misa menunjukkan gambar seorang lelaki yang memakai baju berwarna kuning di dalam album yang dipegangnya. Reo mengangguk.


***


Seira menangis dengan tiba-tiba. Mujur tiada sesiapa pun di dalam kelas ketika itu kerana sekarang merupakan waktu rehat. Misa yang kebetulan masuk ke dalam kelas untuk mengambil barang perasan akan keadaan Seira lantas menegurnya.


"Eh, kenapa awak menangis? Awak tak dapat jawab soalan Matematik tadi ke? Mari saya tolong awak," pelawa Misa pantas. Dia paling tidak suka melihat orang menangis. Seira menggeleng. Dia mengelap air matanya.


"Tak ada apa-apa. Saya okey saja. Cuma teringatkan sesuatu tadi." Seira menidakkan. Misa menjadi ingin tahu.


"Oh. Em, kalau awak rasa nak luahkan apa-apa, luahkanlah. Saya sudi untuk mendengar." Seira memandang pelik ke arahnya. "Saya bukan nak menyibuk hal orang. Saya cuma nak tolong awak saja," sambung Misa tatkala melihat pandangan Seira yang lain macam. Seira mengukir sedikit senyuman. Dia menarik nafas dalam-dalam.


"Jiran saya kemalangan disebabkan kecuaian saya. Ketika itu saya baru lepas menyambut hari lahir yang ke-7. Dia meninggal di tempat kejadian. Saya rasa bersalah sangat. Sampai sekarang saya tak dapat nak maafkan diri saya." Seira kembali menangis. Misa mengusap belakang badannya.


"Maaf, saya tal tahu. Kemalangan itu berlaku di mana?"


"Di lampu isyarat laluan pejalan kaki. Sebenarnya ketika itu memang masa untuk pejalan kaki yang melintas jalan tetapi entah kenapa ada sebuah kereta yang tak reti bahasa pergi langgar lampu isyarat tu. Sepatutnya saya yang akan jadi mangsa kemalangan namun jiran saya telah selamatkan saya." Misa mengangguk.


"Sabar ya awak. Semua yang berlaku ada sebab dan hikmah disebaliknya. Apapun awak kena teruskan kehidupan awak. Jiran awak sanggup korbankan diri dia demi awak. Jadi, awak kena hargai setiap detik dalam kehidupan awak."


***

Misa tergamam. Baru dia teringat kisah yang Reo ceritakan kepadanya. Ceritanya dan Seira bagai ada persamaan. Lebih-lebih lagi bahagian kemalangan di kawasan lampu isyarat pejalan kaki. Dia menidakkan semua yang terlintas di dalam benaknya. Tak mungkin! Tak mungkin Seira mengenali Reo!

Ia berlaku pada 7 November.

Misa terpaku. 7 November merupakan hari lahir Seira. Dan Seira pernah sebut tentang kemalangan jirannya berlaku pada tarikh hari lahirnya. Dia juga tidak sanggup nak raikan hari jadinya kerana peristiwa itu. Abang kepada Reo meninggal pada tarikh yang sama. Adakah mereka merupakan orang yang sama? Misa menduga. Adakah benar? Aduh! Kenapalah dia tidak pernah terfikir untuk bertanya kepada Reo mengenai nama abangnya dahulu. Dia memandang Seira yang ralit mendengar pengajaran cikgu di hadapan.


***

Kring! Loceng telah pun berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat. Seira dan Misa masing-masing mengemas bagasi mereka dan mahu pulang ke rumah. Seira hairan melihat rakannya asyik berdiam diri. Sejak dari waktu rehat dia berkelakuan seperti itu. Diam dan hanya menjawab sepatah sahaja apabila ditanya. Dia bagaikan berada di dalam dunianya yang tersendiri. Misa tidak pernah berkelakuan pelik seperti itu. Hanya dia sahaja yang selalu begitu. Dia ada melakukan kesalahan kah?


"Jom gerak sekarang," kata Seira. Dia mahu memancing Misa supaya bekata-kata. Namun kata-katanya hanya dibalas dengan anggukan daripada Misa. Raut wajahnya kelihatan agak tegang. Misa pantas berjalan apabila melihat Seira yang seakan-akan tidak mahu bergerak daripada tempatnya. Seira segera membuntuti rakannya.


Sepanjang perjalanan Misa hanya berdiam diri. Ada juga Seira bertanya itu dan ini tetapi hanya dibalas dengan anggukan ataupun gelengan sahaja. Otaknya lebih memfokuskan siapa sebenarnya Seira dan Reo.


"Seira, kau pernah dengar nama Minami Ryosuke tak?" tanya Misa tiba-tiba. Seira tersentak. Dia memandang Misa sebelum mengarahkan otaknya untuk berfikir. Sejenak kemudian dia menggeleng.


"Tak pernah dengar pula. Kenapa?"


"Macam mana pula dengan Reo?" tanya Misa lagi. Dia menggesa Seira untuk berfikir semula. Kali ini respons Seira sedikit berbeza. Dia kelihatan terkejut.


"Roe? Em, ya. Aku kenal sangat dengan nama tu. Itulah nama jiran aku dulu. Kenapa?" tanya Seira pula. Seingatnya dia tidak pernah bercerita kepada Misa mengenai nama jirannya. Jadi, dari mana pula datangnya nama itu?


"Jadi, kau pasti kenal Minami Ryosuke. Itu nama penuh Reo. Sebelum keluarga aku berpindah ke sini, aku ada jiran yang bernama Reo. Dia juga mempunyai abang yang telah meninggal disebabkan kemalangan di kawasan lampu isyarat pejalan kaki. Sebabnya nak selamatkan jiran dia yang sedang melintas jalan. Kisah kematian abang dia dan jiran kau tu sama saja. Abang dia mati ketika umurnya 7 tahun. Sama seperti umur kau ketika jiran kau kemalangan." Seira tergelak sambil menggeleng.


"Tak mungkinlah. Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Dalam kes jiran kau tu mungkin ianya hanyalah satu kebetulan sahaja. Tak mungkin jiran kau dan Reo yang aku kenal merupakan orang yang sama kerana Reo yang aku kenal sudah tiada di sini. Dia sudah ke luar negara tiga hari selepas kejadian tu." Misa terpempan. Tak mungkin!


"It can't be! Kalau kau nak cakap yang ianya hanya kemungkinan kejadian tu berlaku pada hari yang sama dan tempat yang sama walaupun pada tahun yang berbeza mungkin aku akan percaya tetapi dengan sebab yang sama? Semua orang takkan percaya Seira. Ia sesuatu yang sangat aneh untuk mempunyai sebab yang sama. Lagi pula umur Reo, kau dan aku adalah sama." Seira tersengih sebelum berjalan mendahului Misa.


"Tapi kalau betul..."


"Tak mungkin betul! It will never be true," bentak Seira. Dia tidak suka mendengar apa yang diperkatakan oleh Misa. Jadi inilah sebabnya mengapa Misa berdiam diri dari pagi tadi. Hanya sebab jirannya.


Walaupun Seira sedikit gusar dengan apa yang Misa cakapkan namun apabila teringatkan yang Reo pernah memberitahunya mengenai perpindahan keluarganya ke luar negara hatinya menjadi lega. Tidak mungkin itu Reo. Entah bagaimana keadaan sahabatnya itu kini. Perasaan bersalah kembali menghantui dirinya.

6 comments:

Anonymous said...

wah, menarik. kisah silam kian terungkap.
semoga cerita ni cepat sampai bahagian yang ditunggu-tunggu. ganbatte writer!

intrigue said...

terima kasih kerana sudi meninggalkan ulasan :)

alhamdulillah buat masa ni idea saya mencurah-curah. insyaAllah saya akan sambung secepat mungkin. saya sendiri mahu cerita ini cepat tiba di penamatnya kerana takut tak dapat nak sambung bila dah tertangguh lama-lama. :p

fadhilah said...

wah, cepatnya dah bab 10! serius aku ketinggalan! x pe lah, kau cerita je lah kat aku ending dia tyme kat sklh eh :P hehehe

intrigue said...

eh x boleh fadh, cerita ni kat sini je...

nonorm said...

apsal la seira tu taknak percaya??
akhirnya sempat jugak baca

intrigue said...

anayue : sebab dia takut nak terima hakikat yg Reo ada kat sini ( dia masih dihantui kejadian kemalangan tu ).

 

A Little Stories Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea