Monday, June 20, 2011

Aku Benci... - Song 4

Posted by intrigue at 00:00

Sky berjalan mendekati rakannya. Dia menghempaskan tubuhnya di sebelah rakannya itu. Dia betul-betul rasa letih akibat daripada konsert yang diadakan. Walaupun konsert itu telah seminggu berlalu namun kepenatannya masih lagi terasa. Dia mencapai botol air yang terletak di hadapannya lantas meneguknya. Lega.

“Hei, kau dah jumpa apa yang kau cari?” Tanya rakan baiknya, Zack merangkap pemain dram untuk kumpulan HarUna. Sky memandangnya hairan.

“Apa benda pula yang aku cari?” Zack membuat muka toya. Mahu saja dia menempeleng kepala Sky. Boleh pula dia buat muka sepuluh sen tu kat aku!

“Kawan kau ketika kecil tu lah. Kau yang beria-ia sangat nak cari dia. Sudah jumpa ke dengan orangnya?” Tanya Zack kembali. Sky mula memberi reaksi. Memang ada yang akan makan kasut aku lepas ni, bisik Zack di dalam hatinya.

“Oh, budak Cherry tu. Hm, macam mana nak cakap ya. Aku ada pergi kawasan perumahan lama kami tapi pak cik dan mak cik yang mengenali kami dulu kata dia dah pindah rumah. Mereka kata mereka tak tahu pula dia pindah ke mana,” terang Sky panjang lebar. Tangannya turut bergerak mengikut rentak percakapannya.

“Yosh! Mari kita pergi makan!” Jerit Kent, pemain gitar bagi kumpulan HarUna. Dia menarik tangan Sky dan Zack agar mengikutnya. Sky dan Zack hampir tersungkur dek tarikan Kent yang tiba-tiba itu.

“Hoi, apa ni! Main tarik-tarik tangan aku pulak! Kalau ya pun tak sabar nak isi perut, tak perlulah sampai nak tarik tangan kita orang ni. Maunya tercabut tangan aku kau tarik.Dah lah kau tarik kuat gila. Wei, lepas lah,” gesa Sky. Dia menarik tangannya daripada genggaman Kent. Kent melepaskan tangan Sky dan Zack serentak. Dia menjelirkan lidahnya.

“Kalau aku tak tarik, jangan harap kau orang nak bangun daripada kerusi tu. Jadi, aku tarik lah supaya kau orang reti nak angkat punggung,” balas Kent sedikit perli. Dia mempercepatkan langkahnya menjauhi Sky. Takut-takut Sky akan mula memarahinya. Sky hanya menggeleng manakala Zack tergelak sakan. Mereka berdua pantas mengikuti langkah Kent.

Mereka berdua keluar dari Bangunan Asterik lantas bergerak menuju ke kereta sukan milik Kent. Dengan pakaian yang lain daripada yang lain menyebabkan mereka tidak dapat dicam oleh sesiapapun. Mereka tiba di restoran yang biasa dikunjungi pada jam 2 petang. Semua pekerja di situ segera menundukkan wajah sebaik sahaja terlihat kelibat mereka.

“Selamat datang ke Restoran Crown Encik HarUna sekalian. Pesanan seperti biasa?” Tanya seorang pelayan kepada mereka bertiga. Mereka bertiga mengangguk seperti burung belatuk sambil tersenyum ke arah pelayan muda itu. Kemudian mereka mengambil tempat duduk di hujung restoran menghadap jalan raya. Kent memulakan perbualan namun hanya Zack yang mendengar. Fikiran Sky sudah melayang.

“Ini untuk kau,” kata Sky kepada gadis itu menghulurkan sebotol air mineral kepadanya. Gadis tersebut menggeleng. Sky tetap menghulurkan botol tersebut. Gadis itu memandangnya. Berang barangkali.

“Saya dah kata saya tak mahu. Awak tak faham bahasakah?” Tanya gadis tersebut. Sky tergelak.

“Seingat aku, sejak aku tiba dan duduk di sebelah kau, kau langsung tak keluarkan suara. Jadi, bila masa pula kau cakap dengan aku?” Tanya Sky semula. Seperti tersedar dari mimpi, gadis tersebut menundukkan wajahnya. Dia mengambil botol air yang dihulurkan oleh Sky. Sky tersenyum cuma.

“Jadi, macam mana kau boleh lepasi pagar penghalang tu?” Tanya Sky. Dia hairan bagaimana gadis tersebut dapat melepasi pagar yang memisahkan antara pentas dengan barisan penonton. Gadis tersebut hanya mengangkat bahu.

“Manalah saya tahu encik penyanyi. Saya sendiri baru kali pertama datang ke stadium dan menyaksikan konsert,” balas gadis itu dengan malas. Tanya aku pula. Macamlah aku ni pekerja yang menjaga bahagian tu. Tanyalah pekerja yang bertugas, bentak gadis itu di dalam hati. Dia meneguk air mineral itu untuk menghilangkan rasa marahnya.

“Baiklah kalau macam tu. Aku harap tak ada lagi perkara seperti itu berlaku apabila kita orang buat persembahan.” Sky terus meninggalkan gadis tersebut. Gadis itu menjelingnya tanda menyampah. Apa dia ingat aku ni minat sangat ke kat dia? Hei pak cik! Masuk bakul angkat sendiri nampak. Boleh jalan lah! Jatuh masuk longkang pun bagus! Jerit gadis itu di dalam hatinya.

“Seira! Seira okey?” Tanya seseorang. Seira memandang ke arah pelontar suara yang amat dikenalinya. Dia membuat muka lantas berdiri. Dia berjalan untuk meninggalkan mereka.

“Seira, tunggu!” Jerit Saori apabila melihat langkah Seira tergesa-gesa meninggalkan mereka di belakang. Dia kenal benar dengan langkah Seira itu. Itu merupakan langkah ‘Jangan-dekati-saya-atau-awak-akan-dapat-jelingan-maut-daripada-saya’.

“Kak, Seira takkan sesekali datang ke tempat macam ni lagi! Jangan sesekali ajak Seira ke sini! Seira benci tempat ni!” Dia segera berjalan meninggalkan kakaknya dan Yukari  di belakang. Saori dan Yukari saling berpandangan sebelum kembali mengejar Seira.

Dari kejauhan, Sky memandang gadis yang dikenalinya dengan nama Seira itu dengan penuh minat. Hm, menarik ni. Gadis yang benci muzik. Apa agaknya yang menyebabkan dia begitu membenci muzik ya? Kenapa namanya macam pernah didengari?

“Hei Sky, kau dengar tak apa yang kami bincangkan?” Tanya Zack apabila melihat rakannya itu seperti tidak berada di situ. Dia melambaikan tangannya di hadapan muka Sky. Sky tersentak seketika. Dia membuat muka blur. Rakannya hairan melihat kelakuan peliknya itu.

“Maaf. Apa yang kau orang bincangkan tadi?” Tanyanya selamba. Kent sudah menundukkan wajah sambil menggeleng kepala manakala Zack hanya menepuk bahu Sky.

2 comments:

Virtual Writer said...

Saya suka.... ^_^
seira tu kawan lama sky ke..?

sakuraputih said...

Em,, tu x leh bagitau la kak sha..kena tunggu dan lihat saja.. :)

 

A Little Stories Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea