"Amboi Alex, awal kau datang hari ni," tegur Steve, salah seorang rakannya merangkap pengurus kedai. Dia mula membantu Alex memasukkan adunan yang telah siap diletakkan di atas tray ke dalam ketuhar. Alex memandangnya.
"Barang adunan aku dah beli malam tadi. Tu yang datang awal sikit hari ni," balasnya. Steve mengangkat kening tanda hairan. Macam pelik saja si Alex ni beli barang waktu malam. Selalunya dialah yang paling malas bab-bab beli stok kedai. Hm, tak kisahlah. Yang penting kerja-kerja di kedai beres. 30 minit kemudian, Alex mengeluarkan adunan yang sudah memperlihatkan bentuk roti dibantu oleh rakannya.
Alex mengerling semula ke arah jam. 7.30 pagi. Sudah tiba masanya untuk membuka kedai. Dia membasuh tangannya lalu bergerak keluar dari dapur. Dia memandang ke luar. Ramai pelanggan sudah beratur, menunggu masa untuk masuk ke dalam kedai. Dia segera membuka pintu depan.
"Selamat datang ke Garden Terrace Bakery," kata Alex sambil membongkokkan badannya sedikit ala-ala barista di kafe. Semua pelanggan yang berpusu-pusu masuk sekadar mangangguk. Mereka turut membalas senyuman yang dihulurkan oleh Alex. Alex bergerak ke kaunter bayaran. Sementara menunggu pelanggan datang membayar, matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Dia sedar di situ terdapat seorang gadis yang asyik melihat roti tetapi tidak bercadang untuk membelinya. 'Gadis itu lagi,' bisik hatinya. Dia meninggalkan kaunter, bergerak ke arah gadis tersebut.
"Cik, roti apa yang cik cari? Boleh saya tolong?" Tanya Alex kepada gadis comel itu. Gadis comel itu tersenyum menggeleng. Dia segera meninggalkan Garden Terrace Bakery. Itu membuatkan Alex tertanya-tanya. Siapakah gerangan gadis itu? Apakah sebenarnya yang dia mahu? Sudah lebih sebulan gadis itu asyik singgah di Garden Terrace Bakery tetapi langsung tidak membeli apa-apa. Adakah gadis itu tidak cukup duit untuk membeli roti di bakerinya? Pelbagai persoalan bermain di benaknya namun tiada satu pun yang terjawab. Dia kembali ke kaunter dengan seribu pertanyaan di kepala.
***
"Terima kasih kerana membeli di sini. Sila datang lagi ya," kata Alex kepada pelanggan terakhir yang datang ke bakerinya hari itu. Rakannya kembali menutup pintu setelah pelanggan terakhir tersebut keluar dari kedai.
"Hei Alex, hari ini Steve cakap kau boleh balik awal," kata rakan Alex sambil tangannya mengunci pintu hadapan. Dia kembali menghadap Alex, menunggu jawapan daripadanya.
"Kenapa pula hari ini aku boleh balik awal?" Tanya Alex hairan.
"Sebab hari ini kau da datang awal. Jadi Steve bagi kau balik awal," ujar rakannya. Alex mengangguk cuma. Malas dia mahu bersoal jawab lagi. Nanti tak pasal-pasal kena tahan dengan Steve, suruh dia bersihkan kedai. Dia segera meninggalkan kaunter, bergerak menuju ke almari yang menempatkan segala barangnya. Dia kembali menukar baju. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada rakannya yang lain, dia menapak keluar lantas mencapai basikalnya. Semakin lama, semakin jauh dia meninggalkan tempat dia bekerja seharian. Sedang dia mengayuh basikal, dia terdengar suatu bunyi tidak jauh dari situ. Hm, macam kenal sahaja bunyinya. Dia mencari arah datangnya bunyi tersebut. Oh, kucing rupanya. Dia turun daripada basikal dan menghampiri kotak yang terdapat seekor anak kucing di dalamnya.
"Hello kitty. Mesti kamu lapar kan. Sekejap ya, rasanya saya ada bawa balik makanan dari kedai tadi," ujarnya lantas mencari makanan di dalam beg sandangnya. Dikeluarkan lalu dihulur kepada anak kucing tersebut. Dia tersenyum melihat keletahnya. Sedang anak kucing tadi menjamu selera, dia meliarkan pandangannya. Sebentar kemudian matanya tertancap pada sekujur tubuh milik seorang gadis yang tidak asing lagi pada pandangannya. Gadis pagi tadi, bisiknya di dalam hati. Dia mula bangun untuk menghampiri gadis yang sedang membelakanginya tidak jauh dari situ. Seperti mengetahui kedatangan Alex menghampirinya, gadis itu segera beredar.
"Eh, nanti!" Jerit Alex. Namun, jeritannya tidak diendahkan. Dia segera mendapatkan basikal dan menunggangnya untuk mengejar gadis tadi. Dia tertanya-tanya mengapa dia beria-ia mengejar gadis tersebut sedangkan dia sendiri tidak pernah mengenalinya. Tetapi naluri hatinya menyangkal apa yang difikirkan. Naluri hatinya menyatakan bahawa mereka pernah berjumpa. Persoalannya, bila dan di mana?
Sebaik sahaja tiba di hadapan sebuah rumah, gadis tersebut terus hilang ke dalam. Dia mendecit. Kalau dia mengayuh basikalnya dengan laju sebentar tadi, pasti dia dapat menghalang gadis itu dari menghilangkan diri daripadanya. Sekarang dia perlu memilih antara dua cara ideal yang sempat difikir olehnya. Sama ada dia mahu menekan loceng rumah dan bersua muka dengan gadis itu ataupun pulang sahaja ke rumah dan lupakan segalanya. Dia berfikir sejenak, menimbang segala baik dan buruknya. Akhirnya dia memilih untuk menjadi berani. Dia menghampiri rumah itu dan menekan loceng. Walaupun sedikit gugup namun dia menggagahkan dirinya. Tidak lama kemudian seorang budak lelaki dalam lingkungan 17 tahun menjenguk dari dalam.
“Ya, cari siapa?” Tanya budak lelaki tersebut. Mukanya dihiasi senyuman sekadarnya. Namun sebaik sahaja dia melihat raut wajah Alex, air mukanya berubah mendadak. Alex tersenyum cuma. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Budak lelaki tersebut keluar daripada rumahnya lantas membuka pintu pagar. Dia mengajak Alex untuk masuk ke dalam rumah.
“Jemput duduk abang,” kata budak lelaki tersebut sebelum menghilangkan diri. Sedikit ketidakselesaan menguasai diri Alex ketika itu. Dia duduk tegak di atas sofa. Selang beberapa minit budak lelaki tadi datang semula ke ruang tamu. Alex dapat melihat ada sesuatu di tangan budak itu. Dia hanya tersenyum kepada budak itu. Budak tersebut duduk menghadap Alex.
“Saya minta maaf kerana tiba-tiba menjemput abang masuk ke dalam rumah sedangkan abang tidak mengenali saya. Saya Louise, adik kepada Lucy,” beritahunya lantas menghulurkan gambarnya bersama kakaknya kepada Alex. Alex memandangnya hairan. Dia menatap gambar yang dihulurkan. Oh, jadi nama gadis itu Lucy.
“Sebenarnya kakak ada tinggalkan sepucuk surat untuk abang. Dia kata abang pasti akan datang ke sini untuk mengambil surat tersebut. Sebentar ya.” Louise pantas mencapai surat yang dimaksudkan dari kocek belakang seluarnya. Dihulurkan surat itu kepada Alex.
“Boleh saya baca surat ini sekarang?” Tanya Alex.
“Silakan.” Alex membuka sampul surat tersebut lantas mengeluarkan isinya. Dia mula membaca sepatah demi sepatah perkataan yang tertulis. Air mukanya berubah dengan tiba-tiba. Dia memandang Louise dengan penuh tanda tanya.
“Mungkin abang sudah lupa yang abang pernah selamatkan kakak dari bunuh diri suatu masa dulu.” Fikiran Alex yang sedia pusing bertambah runsing. “Dulu kakak merupakan antara orang yang paling gembira sekali. Setiap hari dia akan tersenyum. Dia tidak pernah marah mahupun menangis. Satu hari kakak tiba-tiba pengsan ketika dia di dapur. Semua orang yang berada di ruang tamu ketika itu terkejut. Kami membawanya ke hospital dan kami dapat tahu kakak menghidap leukaemia.
Kakak betul-betul sedih apabila mengetahuinya. Setiap hari dia akan duduk di tepi tingkap bili wad dan cakap sorang-sorang. Seminggu kemudia dia lari dari hospital. Doktor, jururawat – semua cari kakak. Tak jauh dari situ saya nampak kakak berjalan menghampiri jalan raya. Betul-betul ke tengah jalan. Saya cuba lari sepantas mungkin untuk selamatkan kakak. Dan masa itulah saya nampak abang tarik tangan kakak dari kena langgar dengan kereta,” ujar Louise. Matanya sudah mula berair. Kemalangan? Oh! Baru dia teringat kes setahun lalu itu. Patutlah aku rasa seperti pernah lihat perempuan itu, kata Alex.
Louise menyambung, “Ketika abang di hospital, kakak selalu datang melawat. Dia tunggu abang terjaga. Dia nak ucap terima kasih kepada abang kerana telah menyelamatkannya. Tidak lama selepas itu kakak masuk hospital sekali lagi kerana penyakit leukaemia kakak sudah di tahap kritikal. Pada masa ni abang juga di tahap kritikal. Doktor kata hati abang tiba-tiba ada masalah. Jadi kakak buat keputusan untuk mendermakan hati dia kepada abang. Ianya sebagai tanda terima kasih kepada abang kerana buat kakak rasa istimewa walaupun sekejap.” Alex memegang dadanya. Patutlah ada parut di dada aku.
“Abang minta maaf Louise. Abang langsung tak tahu yang parut di dada abang ni kesan daripada pembedahan. Keluarga abang cakap ianya disebabkan kemalangan tu. Abang betul-betul minta maaf. Jadi maksudnya Lucy sudah tiada?” Louise mengangguk. Air mata yang cuba ditahan sedari tadi tumpah jua. Alex memandang penuh simpati. Patutlah gadis itu tidak pernah bercakap dengannya. Patutlah gadis itu tidak pernah mengendahkannya. Rupanya gadis itu hanyalah bayangannya semata! Atau mungkinkah?
“Louise, boleh beritahu abang di mana kubur Lucy?”
***
‘Lucy, walaupun saya tak pernah mengenali awak namun awaklah orang yang paling baik pada saya. Ya, awak sangat istimewa kepada saya. Awak takkan mati kerana awak sebahagian daripada diri saya sekarang. Saya akan jaga hati kita. Saya akan pastikan dia sentiasa dalam keadaan baik.’ Alex memegang dadanya dan tersenyum. Dia memandang ke arah langit, seolah-olah Lucy sedang memerhatikannya. Dari kejauhan bayangan Lucy sedang tersenyum ke arahnya.
Ke hadapan Encik Alex Heatherfield,
Ketika mana surat ini berada di dalam genggaman encik, saya mungkin sudah tiada di muka bumi ini. Jadi di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah menyelamatkan saya ketika itu. Saya amat menghargainya. Malangnya encik pula yang terlibat dengan kemalangan. Saya minta maaf banyak-banyak kerana telah menyusahkan encik dan menyebabkan encik jadi begini.
Encik Alex,
Saya tahu yang kita takkan pernah dapat bersua muka kerana masalah yang kita hadapi. Lagi pula saya sendiri tidak dapat hidup lama. Ketika di hospital saya dapat tahu encik juga mungkin takkan hidup lama sekiranya tidak dapat hati yang baru. Jadi sebagai balasan kerana telah menyelamatkan saya, terimalah hati saya sebagai ganti. Ianya sebagai hadiah dari saya kerana encik telah membuatkan saya rasa istimewa dan dihargai. Saya harap encik akan menjaganya dengan baik. J
Yang benar,
Lucy Heartnett
-TAMAT-
3 comments:
sweet, simple and nice. sy suka gaya bahasa awk.
saya pon suke ngan gaya awk...saya rasa ad keharmornian slps baca cer awk.
VW ; thank you kak sha.. :)
mieza ; terima kasih..keharmonian?? mcm mne tu?? :p
Post a Comment